KUALA LUMPUR ; 14 JUN 2017 – Meskipun menduduki kerusi empuk sebagai pensyarah di menara gading, warga pendidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Razak School tidak alpa dalam menjalankan peranan membantu golongan masyarakat yang kurang bernasib baik khususnya di luar bandar. Mereka telah mengusahakan beberapa program mouniti antaranya Projek Kemahiran Dalam Kalangan Anak Muda dan pembinaan Pusat Terapi Fisioterapi di Pusat Jagaan Nur Hasanah di Beranang, Selangor.
BANTU BELIA KAMPUNG
Hasil kerjasama dengan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), kumpulan pensyarah telah menganjurkan Bengkel Pendawaian Elektrik di Kampung Pasir Putih, Kalumpang, Hulu Selangor, Selangor pada 26 Februari yang lalu dan Bengkel Pendawaian Sistem Rangkaian pada 4 Mac 2017 di Kampung Serting Ulu, Simpang Pertang, Jempol, Negeri Sembilan.
Bagi setiap bengkel lebih 20 orang peserta telah memperolehi manfaat daripada kursus satu hari itu, selain menerima kelengkapan asas membaiki pendawaian. Ketua Projek, Dr. Hazilah Mohd Koldi memberitahu bahawa program berkonsepkan Knowledge Transfer itu diserahkan pada anak muda, khususnya belia yang tidak mampu atau berpeluang untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi.
Usaha itu diharap dapat membantu mereka untuk mencari pekerjaan ataupun mengusahakan perniagaan sendiri. Kebanyakan peserta mempunyai pendidikan setakat SPM dan ada juga setakat Tingkatan 2 sahaja yang berhenti sekolah kerana terpaksa bekerja untuk membantu keluarga. Mereka ini sebenarnya berkebolehan memerlukan pendedahan kemungkinan mereka sukar mendapatkan peluang seumpama ini di tempat lain kerana kos dan sebagainya. Melalui program percuma ini diharap dapat menarik minat mereka untuk mempelajari kemahiran yang akan memberi manafaat pada kehidupan mereka kata Pensyarah Kanan UTM Razak School itu.
IMPAK SELEPAS BENGKEL
Menerusi pemantauan yang dijalankan selepas bengkel, Dr. Hazilah Mohd Koldi mendapati para peserta telah berjaya mengaplikasi kemahiran dan menunjukkan minat untuk lebih mendalami kemahiran yang dipelajari. Ada yang berjaya mendapatkan pekerjaan dan ada juga yang mengaplikasikan kemahiran baru itu untuk memberi nilai tambah pada pekerjaan sedia ada.
Seperti di Kalumpang, Hulu Selangor sebaik sahaja selesai kursus, para peserta mengambil iniasitif untuk membaiki sendiri suis yang rosak di balai raya di tempat kami anjurkan bengkel. Ini menunjukkan ilmu yang cuba kami kongsikan itu sampai pada mereka ujar beliau.
Antara yang berjaya ialah En. Azizan Talib 24 tahun peserta Bengkel Pendawaian Sistem Rangkaian di Jempol, Negeri Sembilan. Graduan Universiti Malaysia Terengganu dalam bidang Sains Komputer itu berkata program berkenaan sememangnya amat bermakna buat anak kampung sepertinya. Walaupun saya mempunyai pengetahuan dalam programming tetapi saya tidak tahu tentang pendawaian atau aspek fizikal pendawaian rangkaian, jadi daripada bengkel ini saya dapat banyak maklumat serta informasi. Dalam bengkel ini juga diajar tentang keusahawanan dan diajar cara bagaimana mahu menjana pendapatan ujar pemuda ini yang telah berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai Pengurus Pusat Internet 1Malaysia.
PENSYARAH IPT PERLU TURUN PADANG
Ketua Projek, Dr. Hazilah Mohd Koldi berkata, kesempatan meluangkan masa bersama penduduk kampung dan mendengar luahan hati mereka telah membuka minda beliau dan rakan-rakan yang lain. Maklumbalas yang diterima hasil daripada penganjuran bengkel ini amat positif iaitu penduduk kampung mahu program seumpama ini terus dilaksanakan.
“Pada pendapat saya sebagai pensyarah, kita tidak boleh duduk di kampus dan syok sendiri sahaja, sekali sekala perlulah ke luar, jadi barulah tahu dan nampak serta memahami keadaan sebenar masyarakat. Sebenarnya ramai anak muda ini tidak mempunyai peluang dan memang ada yang rasa seperti dipinggirkan” katanya lagi.
PUSAT FISIOTERAPI UNTUK PUSAT JAGAAN NUR HASANAH
Usahasama pensyarah UTM Razak School dalam mengumpul sumbangan termasuk dana oleh NBOS menerusi Pusat Tarnsformasi Komuniti Universiti (UCTC), juga telah merealisasikan impian warga Pusat Jagaan Nur Hasanah di Beranang, selangor untuk memiliki pusat fisioterapi sendiri. Ketua Projek, Pensyarah Kanan Dr. Mohamad Zaki Hassan berkata projek berkenaan bukan sahaja melibatkan pembelian alatan fisioterapi dan kesihatan malah melibatkan pembinaan sebuah bangunan satu tingkat berdekatan pusat jagaan tersebut.
Antara peralatan yang disediakan adalah treadmil, basikal gim, alatan fisioterapi serta alatan pemeriksaan kandungan gula dan tekanan darah. Sejak siap dibina pada awal tahun ini (teah dirasmikan pada April 2017) sambutan daripada warga pusat jagaan amat menggalakkan. Aktiviti kecergasan dan kesihatan telah dijalankan bagi melatih mereka, khususnya warga tua untuk menggunakan alat kesihatan dan fisioterapi dengan kaedah yang betul. Kewujudan pusat fisioterapi ini telah membantu meningkatkan kualiti hidup mereka terutamanya dari segi penjagaan kesihatan dan mengurangkan tekanan emosi. Mereka telah menunjukkan sambutan yang amat memberangsangkan dalam segala aktiviti yang dijalankan katanya.
Antaranya yang telah memperolehi manafaat daripada pusat fisioterapi ini ialah En. Mat Tajudin Mat Hussin 64, yang lebih mesra dipanggil Pak Din berkata beliau dahulunya terlantar kini sudah boleh berjalan seh konsisten menggunakan recumbent bicycle selama 30 minit ke dua jam sehari selama enam bulan dan penyakit darah tinggi beliau juga lebih terkawal dan sudah tidak bergantung kepada ubat hospital lagi. Pak Din juga telah berjaya mengurangkan berat badannya daripada 78 kilogram ke 70 kilogram katanya yang mendiami pusat itu sejak tahun 2013.
Menurut Dr. Mohamad Zaki Hassan, Pusat Jagaan Nur Hasanah adalah rumah transit yang menempatkan pesakit terdampar tanpa waris, mualaf, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang dirujuk daripada Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP) dan hospital kerajaan di seluruh negara.
Operasi pusat jagaan itu bergantung pada dana sumbangan individu, organisasi bukan kerajaan (NGO) serta syarikat tempatan dan antarabngsa. Sejak ditubuhkan pada tahun 2016, pusat tersebut sudah menjadi rumah transit kepada lebih 1,250 penghuni pelbagai kaum dan bangsa. Mereka tinggal di pusat jagaan ini sehingga akhir hayat sekiranya tiada waris mahu mengambil mereka dan sehingga hari ini seramai 44 orang telah meninggal dunia dan selebihnya ada yang memohon keluar untuk bekerja setelah pulih daripada penyakit yang dihadapinya jelas beliau.
Pada masa ini, pusat jagaan ini dihuni oleh 20 warga lelaki dalam anggaran umur 50 ke 60 tahun. Kebanyakan mereka sudah uzur dan bergantung pada kerusi roda untuk bergerak. Aktiviti harian mereka dibantu oleh lima orang penjaga pusat jagaan tersebut.
sumber :
BERNAMA ON-LINE
www.bernama.com