KUALA LUMPUR ; 26 SEPTEMBER 2018 – Kolaborasi antara Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) bersama SMK Zon R1 Wangsa Maju dimeriahkan lagi dengan terlaksananya Program Jelajah Menara Gading. Ianya merupakan sebahagian dari perancangan Program Libatsama Komuniti UTMKL bersama SMK Zon R1 Wangsa Maju yang diselaraskan oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN).
Program ini disertai oleh 40 pelajar tingkatan 4 yang sedang mempelajari bidang sains di sekolah bersama 2 orang guru pengiring dan 2 orang wakil PIBG. Program ini bertujuan memberi ruang dan peluang kepada para pelajar terutamanya untuk menimba ilmu, memberi motivasi dan inspirasi khususnya dalam meneroka bidang Sains. Program ini juga diharap dapat memberi persekitaran baru bagi para pelajar dan guru disamping mencetus idea-idea yang kreatif dan inovatif dalam meningkatkan kualiti pengajaran guru-guru sekolah serta menambah minat pelajar-pelajar dalam bidang Sains di sekolah dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke UTM.
Para pelajar dan guru diraikan dengan penerangan ringkas tentang Kampus UTMKL dan program-program yang ditawarkan disamping suntikan motivasi oleh Pn. Ramona Abd. Rahim, Timbalan Pengarah CCIN. Program dimulakan dengan sesi penerangan tentang projek Solar Panel serta sedikit praktikal kepada para pelajar tentang bagaimana solar panel berfungsi oleh Dr. Mohd Nabil Muhtazaruddin dan beberapa pensyarah Fakulti Teknologi dan informatik Razak sebagai fasilitator. Selain itu, para pelajar dan guru dibawa untuk melawat Makmal Robotik Malaysia Japan International Institute of Technology (MJIIT) yang di sambut oleh En. Mohd Afiq Murad, Pusat Kecemerlangan UTM Ocean Thermal Energy Centre (OTEC) yang di ketuai oleh Prof. Dr. Abu Bakar Jaafar, Pengarah UTM Ocean Thermal Energy Centre (OTEC). Manakala semasa di Makmal 5G Ericsson Wireless Communication Centre (WCC), pelajar disantuni oleh Dr. Marwan Hadri Azmi.
Program ini mengambil inisiatif Community Engagement (CE) selaras dengan teras strategik universiti dalam Plan Global 50 iaitu ‘Sumbangan terbaik kepada Komuniti’ dan ‘Memasyarakatkan Universiti’ dimana UTMKL akan sentiasa bersiap sedia memberi khidmat kepada komuniti di sekitarnya dalam pelbagai bidang.