17 Mei 2014, Padang, Indonesia – Program CE@Padang atau lebih dikenali sebagai Rafflesia’14 telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya bersama komuniti penduduk Nagari Koto Rantang, daerah Batang Palupuh, Bukittinggi, Indonesia sejak 11 Mei 2014 yang lalu.
Seramai 29 orang mahasiswa UTM Kuala Lumpur dan 25 orang mahasiswa Politeknik Universitas Andalas menyertai program yang turut disertai enam orang pegawai dari Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa & Alumni (HEMA) UTM, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UTM-CTC) dan Politeknik Universitas Andalas.
Majlis Pembukaan Program telah dirasmikan oleh Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), YB. Senator Datuk Seri Mohd Ali bin Hj. Mohd Rustam. Wakil Gabenor Sumatera Barat, Bapak Kassim dan Wali Nagari Koto Rantang, Camat Batang Palupuh, Ketua Jorong turut hadir.
Di antara aktiviti libatsama komuniti yang dijalankan termasuklah berkhatan beramai-ramai, pemeriksaan kesihatan rumah ke rumah, ‘bedah rumah’, tutorial Fun with Science dan juga perkongsian teknologi komputer kepada guru dan pelajar.
Pusat Kesihatan UTM yang diketuai oleh Dr. Rozana Hisham bersama tujuh (7) orang staf pembantu melaksanakan aktiviti berkhatan kepada 10 orang kanak-kanak selain mengadakan pemeriksaan kesihatan penduduk terutama warga emas berumur 70 tahun ke atas.
Selain itu, para peserta program juga turut membaiki kerosakan tiga (3) buah rumah penduduk termasuk rumah yang telah berusia lebih 100 tahun. Hampir 100 orang pelajar serta lapan (8) orang guru dari Sekolah Batang Palupuh pula turut menerima sumbangan Reading Station beserta puluhan naskah buku dari UTM.
Perbezaan budaya di antara peserta program dan penduduk setempat ternyata tidak menjadi halangan untuk mewujudkan asimilasi yang mantap, sekaligus menjadi faktor kejayaan program ini yang turut dihadiri oleh Bapak Wali Nagari dan Prof. Madya Ahmad bin Khalid selaku Ketua Delegasi dari Malaysia di acara perasmian penutup.