Universiti Teknologi Malaysia melalui Institut Inovasi Strategik Johor (IISJ) dengan kerjasama Pusat Inovasi dan Komersial akan menganjurkan Program Pengenalan Sistem Molluscure di Mukim Ayer Baloi. Majlis ini akan dirasmikan oleh Datuk Hj. Ahmad bin Hj Maslan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri seperti ketetapan berikut :-
Tarikh : 14 Januari 2017 (Sabtu)
Masa : 10:00 pagi – 5:00 petang
Tempat : Kawasan Restoran Nelayan, Pengkalan Ayer Baloi
Mukim Ayer Baloi telah terpilih untuk dijadikan tempat bagi rawatan kerang menggunakan sistem Molluscure yang dibangunkan oleh penyelidik UTM. Tujuannya ialah untuk mendedahkan teknologi ini kepada golongan sasar iaitu nelayan penternak spesis moluska terutama kerang yang mempunyai potensi pasaran yang sangat luas. Molluscure™ ialah sistem yang direka cipta untuk menyingkirkan logam toksik daripada spesis moluska seperti kerang, kupang, dan tiram bagi menepati piawaian kandungan logam yang dibenarkan standard.
Sistem ini telah dipatenkan oleh penyelidik-penyelidik UTM diketuai oleh Prof. Dr. Abdull Rahim Mohd Yusoff, dianggotai oleh Prof. Dr. Wan Azelee Wan Abu Bakar, Prof. Madya Dr. Razali Ismail, Dr. Faizuan Abdullah dan Ihsan Wan Azelee. Sistem ini juga telah dilesenkan untuk dikomersialkan kepada syarikat Focus Industrial System Sdn. Bhd.