KUALA LUMPUR, 6 Februari 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) dan Pusat Teknologi maklumat dan Komunikasi (CICT) telah menjalinkan sinergi bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melalui Dotme Sdn. Bhd. bagi melaksanakan program Focus Track e-Rezeki di UTM dengan pelancarannya yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Naib Canselor pagi tadi.
Program e-Rezeki adalah berdasarkan konsep crowdsourcing, dengan tumpuan khusus diberikan kepada model berasaskan perkhidmatan. Program ini bertujuan untuk memberi manfaat terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah atau dikenali sebagai B40, dengan membuka peluang dan membolehkan mereka meraih pendapatan menerusi kaedah digital. Pada 3 Ogos 2016 yang lalu secara sahnya UTM telah dilantik oleh MDEC sebagai wakil eRezeki. Bagi meningkatkan penglibatan warga UTM, pihak MDEC telah menawarkan program Focus Track.
UTM menyedari bahawa kerjasama dengan industri dan pihak luar akan memberi menafaat kepada pengajaran dan pembangunan kemahiran; penerapan pengetahuan; peluang pembangunan bakat oleh para pelajar serta staf dan khususnya penerapan semangat keusahawanan. Sebagai permulaan, Syarikat Dotme Sdn Bhd akan melatih minima 15 orang staf UTM untuk menjadi mentor yang kemudiannya mencari dan membimbing minima 15 orang pelajar UTM untuk menjana pendapatan persendirian melalui eRezeki. Harapannya adalah pelajar dapat menjana pendapatan sebanyak RM300 dalam masa 3 bulan pertama penglibatan mereka dalam program ini.
Justeru itu, pihak penganjur mengharapkan warga UTM dapat mengambil peluang yang disediakan sejajar dengan hasrat KPT untuk melahirkan usahawan di kalangan para graduan. Bagi yang berminat untuk menyertai program ini sila hubungi urusetia program 03-22031420 – PM Dr. Wardah Zainal Abidin / 03-26154732 – En. Mohd Rafi bin Abu Bakar.