KUALA LUMPUR ; 13 OKTOBER 2018 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pejabat Pro-Naib Canselor UTMKL, Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) dengan kerjasama Robotic Systems Enterprise (Drabot) akan menganjurkan Cabaran Pengaturcaraan Sistem Terbenam Malaysia Kali Pertama/ 1st Malaysia Embedded System Programming Challenge (MESPC ‘18) pada 17 & 18 November 2018.
Sehubungan dengan itu, satu bengkel percuma telah dianjurkan bagi memperkenal dan menambah pengetahuan peserta yang telah mendaftar untuk menyertai pertandingan ini. Program ini adalah salah satu usaha untuk merakyatkan kemahiran pengaturcaraan sistem terbenam sehingga ke peringkat akar umbi sebagai persediaan Malaysia menjadi pengeluar atau pembangun teknologi Industri 4.0 dan meningkatkan peratusan pelajar yang menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
Bengkel selama 2 hari yang diadakan di Bilik Peperiksaan aras 4, Perpustakaan Sultanah Zanariah telah dihadiri oleh 12 peserta bagi kategori sekolah rendah dan 58 peserta bagi kategori sekolah menengah dari Zon tengah. Slot pengisian bengkel ini berlangsung secara 3 sesi dan disampaikan sendiri oleh En. Dafizal Derawi, Ketua Pegawai Eksekutif Drabot. Dr. Noor Azurati Ahmad @ Salleh, selaku ketua penyelidik dalam mengkaji keberkesanan program ini disamping mengukur tahap kesediaan pelajar dalam bidang robotik juga telah mengedarkan borang soal selidik kepada para pelajar dan guru-guru pengiring. Turut hadir adalah Pn. Ramona Abd. Rahim, Timbalan Pengarah Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) yang juga mewakili pihak UTM Kuala Lumpur.
Semoga program seperti ini dapat dianjurkan pada masa akan datang dan menjadi titik tolak kerjasama yang berterusan di antara pihak UTM dan Drabot dalam membangunkan anak bangsa Malaysia untuk menerokai lebih jauh lagi dalam bidang robotik.