Rentetan daripada perasmian Institut Inovasi Strategik Johor (IISJ) pada 21 Mac yang lalu, satu mesyuarat telah diadakan bersama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Johor pada 24 Ogos yang lalu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Sebanyak 24 buah IPT di negeri Johor dengan jumlah keseluruhan yang hadir adalah 55 orang telah menyertai mesyuarat IISJ tersebut dan antara wakil IPT yang hadir adalah dari Universiti Tun Hussien Onn (UTHM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pasir Gudang, Politeknik, Raffles University Iskandar Malaysia, Institut Perguruan, Kolej Komuniti dan beberapa institusi pengajian di bawah MARA di seluruh negeri Johor serta wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri.
Di dalam mesyuarat tersebut, perkongsian maklumat yang diperoleh semasa sesi business matching and networking pada 21 Mac 2016 yang lalu telah dibentangkan kepada wakil IPT yang hadir. Maklumat tersebut telah dinamakan sebagai projek Low Hanging Fruit (LHF), dimana projek tersebut merupakan projek penyelidikan di bawah IISJ yang melibatkan komuniti di seluruh daerah di Johor. Sebanyak 43 projek LHF dan 12 projek yang berpotensi telah dipamerkan kepada wakil dari IPT yang hadir. Projek-projek LHF tersebut dibahagikan kepada 5 kluster iaitu alam sekitar, kesejahteraan hidup, keselamatan, pelancongan dan keusahawanan dimana ianya bertepatan dengan cadangan oleh YAB Menteri Besar Johor semasa mesyuarat pembentangan projek IISJ di UTM pada 15 Ogos yang lalu.
Selain dari pembentangan, UTM juga bertindak sebagai penghubung di dalam aktiviti IISJ ini menyediakan wadah kerjasama antara IPT di seluruh negeri Johor dengan mengadakan cadangan libatsama IPT di dalam projek-projek keutamaan LHF tersebut. Antara IPT yang berminat untuk menyertai usaha sama dengan UTM dalam mengetengahkan inovasi dan penerokaan idea baru bagi projek LHF adalah UTHM, UniKL, Politeknik Mersing, beberapa IPT di bawah naungan MARA termasuklah UiTM Pasir Gudang, Institut Kemahiran MARA Johor Bahru, Kolej Poly-tech MARA dan Kolej Profesional MARA. Konsep kebersamaan dalam jaringan ini selari dengan penubuhan “Community Engagement Network for Innovation” (CeNi-Net) dengan tujuan mensinergikan IPT Johor dalam program-program komuniti berimpak tinggi. Konsep berimpak menekankan perlaksanaan program komuniti berteraskan kepada empat prinsip utama NBOS iaitu impak tinggi, kos minina, perlaksanaan pantas dan kelestarian/mampan.
Selain itu, melalui mesyuarat ini, pihak UTM juga membuka ruang kepada IPT diseluruh negeri Johor untuk menyertai pertandingan rekacipta dan inovasi, Industrial Art and Technology Exhibition (INATEX) yang bakal diadakan pada 4-6 Oktober 2016 nanti. Melalui program ini, inovasi yang tercipta bakal diaplikasikan di negeri Johor dalam mensinergikan komuniti serta memajukan negeri Johor serta dapat mewujudkan Lembah Inovasi Johor.