Bersama dalam membangunkan industri pertanian serta meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar

Impak Keseluruhan Program

Carta Perbatuan

16 Disember | Kota Tinggi – Pelancaran Tapak Penanaman Fertigasi Pokok Tin di Felda Sening, Kota Tinggi, Johor menggunakan teknik fertigasi berjaya direalisasikan hasil kerjasama pelbagai pihak yang diselaraskan oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), UTM menerusi dana daripada Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
Bagi menyahut seruan kerajaan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang menumpukan program-program berimpak, masa perlaksanaan yang pantas, kos rendah dan juga lestari, projek ini dijayakan oleh Jawatankuasa Penduduk Felda Sening sendiri dalam mempraktikkan tanaman dengan menggunakan teknik fertigasi yang diterajui oleh Dr Ahmad Johari bin Sihes sebagai Ketua Projek dan ahli-ahli Kelab MyAgrosis dari Universiti Teknologi Malaysia.
Perasmian Tapak Penanaman Fertigasi Pokok Tin seluas 100′ x 20′ ini disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Besar (Pengurusan Komuniti) FELDA, Encik Anuar bin Malek.
Menurutnya, “Felda komited dalam menyahut seruan kerajaan demi mentransformasikan komuniti Felda melalui pemindahan pengetahuan dan teknologi menerusi kepakaran dari pihak UTM. Ini merupakan salah satu wasilah bagi penyelidik dan juga mahasiswa untuk berbakti kepada masyarakat melalui kepakaran yang dimiliki”.
Sempena pelancaran ini juga, sebuah pokok tin daripada spesis ‘Red Khutmani’ dihadiahkan kepadanya sebagai simbolik perasmian selain daripada menandatangani plak perasmian dan lawatan ke Rumah Perlindungan Hujan Pokok Tin. Rumah Perlindungan Hujan di Tapak Penanaman Fertigasi Pokok Tin ini yang mempunyai 150 buah pokok akan menjadi pemangkin dalam penubuhan Kampung Tanaman Komersial di kampung-kampung yang lain di seluruh negara.
Inisiatif projek Penanaman Fertigasi Pokok Tin ini bukan sahaja menjadi salah satu pakej pelancongan Inap Desa malah ianya akan dapat membuka peluang pekerjaan selain memperkasakan ekonomi penduduk Felda Sening dengan hasil jualan anak pokok dan hasil produk daripada pokok tin seperti jem, buah tin dan daunnya yang dijadikan teh. Ia juga bakal menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara kerana terdapat empat variasi pokok tin yang sukar ditemui telah ditanam di Rumah Perlindungan Hujan Pokok Tin di sini. Inisiatif ini juga dapat memajukan taraf sosiobudaya dan sosioekonomi penduduk luar bandar menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).
Selain itu, impak positif lain yang diperolehi termasuklah dapat meningkatkan kerjasama dan produktiviti komuniti Felda meneroka pasaran buah tin di Malaysia sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan negara dalam mengimport buah tin daripada negara luar. Pemasangan sistem fertigasi pokok tin ini menggunakan kaedah yang sama digunakan di dalam penanaman cili dan turut dibantu oleh para mahasiswa diketuai saudara Hazmi Mokhtar yang mewakili Kelab MyAgrosis UTM.
Kaedah ini dapat menjimatkan kos dan memberikan hasil tuaian yang sekata serta mempercepatkan proses penghasilan buah tin yang juga merupakan pemakanan Sunnah. Seperti yang diketahui umum, buah tin mempunyai khasiat yang berbeza daripada buah-buahan lain, lazat serta mempunyai nilai pemakanan yang tinggi. Selain dari itu, ia juga dikenali sebagai bahan pelancar (laxative), penahan sakit, unsur perkumuhan air kencing (diuretik) dan penawar kanser.
Agensi-agensi kerajaan lain atau pihak industri yang berminat untuk bekerjasama dan membuat pelaburan bagi memperbesarkan lagi tapak tanaman pokok tin ini dialu-alukan bagi memenuhi kehendak pasaran tempatan seterusnya ke peringkat global.
Sebarang pertanyaan sila hubungi :-
Dr Ahmad Johari bin Sihes
Ketua Projek
Pertanian Fertigasi Pokok Tin
Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi Malaysia
p-joha@utm.my
012-7987578





