KUALA LUMPUR ; 8 NOVEMBER 2018 – Kolaborasi antara Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) bersama SK Kementah dimeriahkan lagi dengan terlaksananya PROGRAM JELAJAH MENARA GADING. Ianya merupakan sebahagian dari perancangan Program Libatsama Komuniti UTMKL bersama SK Kementah yang diselaraskan oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN).
Program ini disertai oleh 135 pelajar tahun enam yang baru selesai menduduki peperiksaan UPSR. Lawatan ini dibahagi kepada 3 kumpulan yang mana tarikh lawatan adalah pada 24hb, 30hb Oktober dan 8hb November 2018. Setiap kumpulan diiringi oleh 3 orang guru pengiring. Program ini bertujuan memberi ruang dan peluang kepada para pelajar terutamanya untuk menimba ilmu, memberi motivasi dan inspirasi khususnya dalam meneroka bidang yang ingin diceburi pada masa akan datang. Ianya juga diharapkan dapat memberi persekitaran baru bagi para pelajar dan guru disamping mencetus idea-idea yang kreatif dan inovatif dalam meningkatkan kualiti pengajaran guru-guru sekolah serta membuka minda para pelajar terhadap penyusunan serta pemilihan kerjaya di masa akan datang dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke UTM.
Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dan Bengkel Kisar UPMU telah menjadi pilihan bagi ketiga-tiga sesi lawatan. Antara makmal yang dilawati ialah Makmal Robotik MJIIT, Galeri Alam Bina Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Makmal 5G Ericsson Wireless Communication Centre (WCC), Makmal Mekanik Pepejal UPMU, Makmal Printed Circuit Board UPMU, Makmal Computer Numerical Control MJIIT dan Studio Multimedia UPMU. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih ditujukan kepada semua PTJ yang terlibat.
Program ini mengambil inisiatif Community Engagement (CE) selaras dengan teras strategik universiti dalam Plan Global 50 iaitu ‘Sumbangan terbaik kepada Komuniti’ dan ‘Memasyarakatkan Universiti’ dimana UTMKL akan sentiasa bersiap sedia memberi khidmat kepada komuniti di sekitarnya dalam pelbagai bidang. Adalah diharap agar PTJ lain juga dapat mengambil peluang untuk menyumbang mengikut kepakaran dan kemampuan masing-masing pada program-program mendatang. Justeru itu, kepada warga kampus UTMKL yang berhasrat untuk menjalin sinergi dengan pihak CCIN, penglibatan bersama amatlah digalakkan.