UTM JOHOR BAHRU ; 5 FEBRUARI 2018 – Program Dialog Yang Berhormat Menteri bersama Wakil Industri merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Bahagian Hubungan Industri, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), bagi memperkukuhkan kolaborasi antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Industri. Program dialog ini dirancang dilaksanakan di setiap zon di seluruh negara bagi menyatukan dunia industri dan akademia tanpa pemisah di bawah payung “Industry and Academia are One”. Melalui program ini, satu platform perbincangan dan perkongsian kaedah perlaksanaan libatsama universiti-industri dapat diwujudkan seterusnya perkongsian strategik yang berteraskan hubungan profesional sebagai jambatan utama akademia dengan industri dapat dibangunkan. Program Dialog Yang Berhormat Menteri bersama Wakil Industri Bahagian Selatan merupakan kesinambungan daripada program yang telah diadakan di bahagian Utara pada 6 November 2017 yang lalu. Di zon selatan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dipilih oleh Bahagian Hubungan Industri, KPT, sebagai tuan rumah penganjuran dengan kerjasama Universiti Tun Hussesin Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Melaka (UteM), Universiti Teknologi Mara (UITM), Netherlands Maritime Institute of Technology (NMIT), Institut Pendidikan Guru (IPG), Politeknik dan Kolej Komuniti. Ianya diadakan pada 5 Februari 2018 bertempat di UTM.
Program kali ini melibatkan kehadiran lebih 50 industri, Universiti Awam, IPT dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) daripada pelbagai bidang dan latarbelakang yang selama ini amat rapat dan selesa bekerjasama dengan pihak universiti. Ia juga membuka peluang kepada industri baru untuk melihat peluang kerjasama yang pastinya memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak. Dalam ucapan yang berbahagia Naib Canselor UTM Datuk Prof. Ir. Dr. Wahid Omar, UTM sahaja telah berjaya memperolehi lebih RM18 juta geran penyelidikan bermula 2010 yang melibatkan program konsultasi melebihi RM68 juta. Kerjasama ini telah berjaya menghasilkan 5808 paten dan hak cipta juga 32 buah syarikat hiliran. Beberapa nama besar industri seperti Huawei, Petronas, Intel dan MMC Gamuda dilihat sudah sebati dengan DNA UTM.
Sesi dialog yang berlangsung hampir 2 jam ini memberi peluang kepada Yang Berhormat Menteri KPT untuk turun padang memberikan penjelasan mengenai kolaborasi yang perlu diwujudkan antara IPT-Industri di samping mendengar sendiri suara dan kehendak industri untuk bekerjasama secara strategik bersama universiti ke arah pembangunan negara. Program berprestij ini juga menyaksikan simbolik kerjasama universiti-industri melalui acara pertukaran dokumen antara 7 buah industri iaitu Hospitage Sdn. Bhd., Mark & Force Sdn. Bhd. dan Alcon A Norvatis Division bersama UTM juga antara GTEX Asia Sdn. Bhd., IXIA Pte. Ltd, dan Systematic Competency Alliance Sdn. Bhd. melalui CoC dengan pihak Politeknik Mersing. Kemuncak acara ini diakhiri dengan pencapaian penghargaan UTM kepada pihak Schlumberger WTA (M) Sdn. Bhd. atas kerjasama syarikat gergasi ini menyumbangkan lesen perisian berkaitan dengan kejuruteraan petroleum yang bernilai USD 11.3 juta (RM48 juta) kepda UTM bagi kegunaan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga pengajaran dan pembelajaran. Kerjasama industri akademia ini diterjemahkan dalam bentuk pameran di ruang pameran pintu masuk dewan. Tidak ketinggalan 3 produk pengkomersilan UTM yang mempunyai jaringan kerjasama dengan 3 industri juga turut dipamerkan.
Program ini juga menyaksikan pelancaran buku “Redesigning Higher Education” yang berkisar tentang Rangka Kerja dalam Merekabentuk semula Penglibatan Komuniti dan Industri. Ia adalah hasil beberapa siri bengkel yang dipengerusikan oleh Prof. Dato’ Dr. Asma Ismail, Ketua Pengarah Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan, Malaysia, serta melibatkan penyertaan 15 IPT di seluruh Malaysia.
Selain itu, turut diadakan acara-acara lain sempena program ini berlangsung. Antaranya, Yang Berhormat Menteri menganugerahkan Biasiswa Aminudin Wahid kepada 3 orang pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) UTM iaitu Siti Khadijah Binti Lukman, Koo Khong Nee dan Lee Shi Yan dengan tajaan RM 344,000 seorang selama 6 semester. Biasiswa ini telah dilancarkan pada 27 September 2011 dengan dana RM10 juta yang disalurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi secara berperingkat. Mereka merupakan 3 penerima biawasiswa pada 2017 daripada jumlah keseluruhan penerima seramai 19 pelajar sejak ianya dilancarkan. Dalam program ini juga, buat pertama kalinya beliau merasai sendiri pengalaman menaiki bas elektrik “EV UNiBus” yang merupakan projek sinergi antara tiga industri iaitu Comos, MaraLiner dan GoAuto dengan UTM. “EV UNiBus”, bas pertama di kampus yang sepenuhnya menggunakan kuasa elektrik, merupakan salah satu inisiatif bagi “Low Carbon Campus” yang dijalankan di bawah teras Mobiliti Hijau melalui Pelan Induk Teknologi Hijau Malaysia 2017-2030. Bas ini berjaya mengurangkan gas karbon dioksida sebanyak 300 tan setahun yang menyamai kadar penghasilan dari 7,750 pokok selain berpotensi menjimatkan bahan bakar sehingga 60% berbanding penggunaan diesel.
Yang Berhormat Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi juga merasmikan University-Industry Pavillion yang mempamerkan logo-logo industri sebagai simbolik penghargaan UTM dengan industri yang bekerjasama dengannya. Sebagai permulaan 100 plat logo syarikat dengan jaringan kerjasama terbaik diletakkan di mercu tanda ini bagi menyemarakkan lagi semangat kerjasama yang lebih berimpak pada masa akan datang. Dari pencapaian ini, UTM dapat memberikan kepastian kepada para akademia dan pakar penyelidik serta para pelajar hari ini dan masa depan bahawa kita menyokong aspirasi sektor pendidikan tinggi Malaysia berkelas dunia agar bersedia dan berjaya menghadapi cabaran dan peluang yang mendatang, era IR 4.0, dunia kepelbagaian teknologi.