KUALA LUMPUR, 17 Disember 2016 – Selaras dengan usaha membudayakan semangat kesukarelawan berasaskan ilmu, Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) serta Pejabat Bendahari UTMKL dengan libatsama Nirozcomm Affiliate serta Kelab Usahawan Selangor, telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan program Seminar Keusahawanan Komuniti@UTMKL : Strategik Tranformasi. Selain dari mengukuhkan budaya libatsama dikalangan warga kampus dan rakan industri, program perkongsian ilmu ini juga bertujuan untuk membantu usahawan-usahawan dari komuniti sekitar UTMKL.
Program perkongsian ilmu ini berlangsung selama dua hari; pada 10 dan 17 Disember 2016 bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Ianya diketuai oleh fasilitator sukarelawan iaitu En. Abd Muttalib bin Samad, Penolong Akauntan dari Pejabat Bendahari UTMKL dan dibantu oleh En. Rozahairy Bin Abdul Razak dan En. Shaarani Bin Yusof dari Nirozcomm Affiliate serta En. Rahman Bin A. Wahid dari Kelab Usahawan Selangor.
Fasilitator-fasilitator sukarelawan ini berkongsi ilmu kepada para peserta cara pemasaran dan pembangunan produk, pengurusan operasi serta mengurus perakaunan perniagaan bagi mentransformasi urusan perniagaan masing-masing. Program ini turut menjemput 2 orang tokoh usahawan berjaya iaitu Tn. Hj. Che Salmi bin Che Ibrahim pemilik ‘HyperRuncit Sabasun’ dan Tn. Hj. Ahmad Shamsul Baharin bin Mohd Hanafiah pelabur, penasihat serta pemilik ‘Experessionz Professional Suite Tun Razak’ bangunan suite 53 tingkat di Jalan Tun Razak. Peserta juga berpeluang secara langsung mendengar pengalaman jatuh bangun kedua-dua tokoh ini disamping bertanya pelbagai soalan mengenai bidang keusahawanan.
Program seumpama ini akan dilaksanakan secara bersiri pada tahun 2017. Justeru itu, kepada warga kampus UTMKL yang berhasrat untuk menjalin sinergi dengan pihak CCIN, penglibatan bersama amatlah digalakkan. Sebarang pandangan serta idea berhubung konsep atau bentuk perlaksanaan program boleh dipanjangkan kepada pihak urusetia di talian 03 26154500 – Encik Hazly bin Ja’apar.