KUALA LIPIS, PAHANG – Bengkel Program Motivasi Kemahiran Belajar Bersama Warga Sekolah Kebangsaan Betau telah dilaksanakan dengan jayanya pada 8 dan 9 Disember 2021 yang lalu, bertempat di Dewan Orang Ramai RPS Betau, Kuala Lipis, Pahang. Program yang diketuai oleh Profesor Madya Dr Sheikh Ahmad Zaki bin Shaikh Salim ini, dianjurkan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Kuala Lumpur, dengan Kerjasama beberapa NGO serta agensi kerajaan yang lain.
Turut hadir dalam program ini adalah Pn Nurhidayah Pura Bte Abdullah, Pengerusi Pembangunan & Keselamatan Kg Orang Asli Pos Betau, En. Ku Mohd Haniff bin Ku Ahmad, Pengurus JAKOA Pos Betau, Dr Moorthy Seelan A/L Perumal, Pengerusi Yayasan Pembangunan Pendidikan Generasi Baru Malaysia, Cikgu Zuber bin Omar, Guru besar SK Betau, serta tidak ketinggalan juga Cikgu Rozman (GPK 1) seluruh warga pentadbir Sekolah Kebangsaan Betau. Namun demikian, wakil dari pihak Yayasan Pelajaran MARA serta pihak Pejabat Pendidikan Daerah, Kuala Lipis tidak dapat hadir atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
Program yang menelan belanja sekitar Ringgit Malaysia Lapan Ribu Sahaja (RM8,000.00) ini, telah  hadir dengan membawa tiga bidang kemahiran yang berlainan,dan mensasarkan terhadap tiga kelompok penerima menafaat yang berbeza bagi memastikan kemahiran yang disampaikan dapat diterima dengan baik oleh masyarakat di sekitar SK Betau. Bidang kemahiran yang disampaikan adalah Teknologi Baikpulih Komputer dan Asas IT, oleh En. Syahrul Hasni bin Hasnan dan En. Yushaini bin Mohd Yunus, Teknologi Penanaman Sayur Kaedah Hidroponik oleh Pn. Siti Zalita bte Ad Talib dan Pn. Noor Aniza bte Ghzali @ Ghazali, serta Teknologi Penyimpanan Data Menggunakan Kaedah Google Data Studio oleh Ts. Mohd Hazri bin Ishak dan En. Mohd Nor Azsuan bin Mohd Yaacob. Program tajaan Yayasan Pelajaran MARA ini, selaku penyumbang dana terbesar, telah memberi faedah kepada sekitar 60 orang penerima menafaat melalui ketiga-tiga aktiviti tersebut.
Selain itu, lima buah komputer terpakai juga telah disumbangkan kepada pihak SK Betau, bagi kegunaan pembelajaran murid sekolah. Prof. Madya Ts. Dr. Nor’azizi Bin Othman dan Ts. Dr. Mohd Fitri Bin Mohd Yakub turut sama hadir dan membantu dalam memperkasa teknologi yang disampaikan.
Para peserta dilihat amat teruja dengan teknologi yang telah disampaikan. Di akhir program, para rakan kerjasama juga dilihat komited untuk mengadakan lebih banyak program-program kemahiran seumpama ini agar masayarakat di Betau ini tidak tertinggal dengan arus kemodenan bandar.
Antara matlamat utama penganjuran program ini juga adalah sebagai satu usaha dalam memperkukuh jaringan dua hala antara kesemua rakan kolaborasi yang terlibat dalam program ini. Selain itu, program ini juga diharapkan mampu dijadikan sebagai platfom dalam mempertingkat kemahiran kedua-dua pihak samada UTM, mahu pun para peserta sendiri.