Kuala Lumpur, 28 November 2017 – Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) ialah satu mata pelajaran baharu yang diperkenalkan kepada murid bermula dari tingkatan 1 tahun 2017. RBT menggantikan mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu yang telah dilaksanakan sejak tahun 1988.
Sejajar dengan hasrat untuk menghasilkan murid yang mempunyai kemahiran berfikir seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 (PPPM) maka mata pelajaran RBT diperkenalkan. RBT diajar kepada murid mengenai kriteria reka bentuk menggunakan teknologi dalam pembinaan dan pembuatan produk supaya menjadi individu yang mempunyai pemikiran global serta memahami teknologi terkini yang mampu menyelesaikan masalah masa hadapan.
RBT memberi peluang kepada murid menggabungjalinkan kemahiran mereka bentuk dan teknologi dengan berfikir secara kreatif untuk menghasilkan produk bagi memenuhi keperluan manusia. Murid membangunkan rangkaian kemahiran yang seiring dengan industri moden.
Murid belajar menggunakan teknologi terkini dan peka kepada kesan perubahan teknologi. Murid juga berfikiran kreatif dengan mengambil bahagian dalam meningkatkan kualiti hidup dan menyelesaikan masalah sebagai individu serta ahli dalam masyarakat. Dalam Kemahiran Abad ke-21, murid bukan hanya bertindak sebagai pengguna teknologi yang berpengetahuan malah menyediakan mereka ke arah pencipta produk dan pencetus idea baharu.
Salah satu komponen penting dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) RBT untuk Tingkatan 2 tahun hadapan (2018) adalah Reka Bentuk Elektronik. Topik ini merupakan cabaran yang sangat besar kepada para pendidik terutamanya kepada mereka yang tiada latar belakang di dalam bidang ini. Ini kerana, topik ini akan membicarakan berkaitan aplikasi mikropengawal yang mana kita sedia maklum, kemahiran ini hanya dapat dipelajari di peringkat universiti sebelum ini.
Penekanan teras strategik di universiti ditumpukan dalam konteks memanfaatkan kepakaran yang ada di universiti untuk kebaikan komuniti yang lebih besar. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang merupakan institusi yang pakar dalam bidang ini melalui Melalui Pusat Jaringan Komuniti Industri (CCIN) UTM telah terpanggil untuk berkongsi ilmu secara ilmiah kepada semua bakal pendidik RBT 2018 dengan harapan ilmu yang disampaikan dapat dimanfaatkan untuk tujuan pengajaran pada tahun hadapan. Program RBT@UTM’17 – Bengkel Mega Reka Bentuk dan Teknologi (Elektronik) dan Diskusi Ilmiah Buku Teks Reka Bentuk Dan Teknologi Tingkatan 2 (Reka Bentuk Elektronik) telah julung kali dianjurkan oleh UTM yang bertempat di Kampus UTM Kuala Lumpur atas dasar tanggungjawab sosial kepada komuniti pendidik demi masa depan generasi muda Malaysia.
Seramai 67 orang mentor yang terdiri daripada pelajar-pelajar ijazah sarjana muda dan diploma daripada Kelab Penyelidikan dan Inovasi (UTM), Malaysia-Japan International Institute (UTM), Kelab Invebot (Universiti Kebangsaan Malaysia- UKM), Mobile Robotics Club (Universiti Tenaga Nasional – UNITEN), dan Persatuan Pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik (Universiti Teknikal Malaysia Melaka – UTeM) telah memberi kotmitmen yang tinggi dalam menjayakan bengkel mega selama dua hari ini yang bermula pada 27 November 2017. Mereka telah bertungkus lumus dalam membimbing para peserta sepanjang program berlangsung. Program ini telah disertai oleh 400 orang guru subjek RBT seluruh Malaysia secara sukarela yang sanggup hadir dengan rasa penuh tanggungjawab demi masa depan pelajar tingkatan 2 tahun hadapan. Para peserta telah didedahkan dengan ilmu elektronik berkaitan mikropengawal (microcontroller) dengan berpandukan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) RBT Tingkatan 2.
Pihak penganjur telah menggariskan beberapa objektif utama yang ingin dicapai :-
1.1 Untuk berkongsi ilmu berkaitan elektronik dengan guru-guru subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) Tingkatan 2 pada 2018 dengan berpandukan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).
1.2 Mempunyai kesedaran terhadap perkembangan reka bentuk pembangunan produk sesuai dengan kehidupan.
1.3 Memberi kemahiran kepada para pendidik untuk menggunakan peralatan, bahan dan perisian komputer yang sesuai dalam menghasilkan sesuatu produk.
1.4 Memberi pendedahan dan kesedaran awal kepada para pendidik mengenai kepentingan menjadi pembangun sesuatu produk (developer) daripada menjadi sebagai pengguna produk (user).
Program ini juga diakhiri dengan diskusi ilmiah Buku Teks KSSM RBT Tingkatan 2 khusus untuk penulisan topik Reka Bentuk Elektronik dengan harapan semua guru yang hadir mendapat pencerahan berkaitan topik ini dan mendapat keyakinan dalam pengajaran mereka pada tahun hadapan kerana diskusi ini melibatkan kuliah jemputan dan ulasan daripada seorang pakar dalam bidang sistem terbenam berasaskan mikropengawal iaitu Prof. Madya Dr. Hairi Zamzuri iaitu Ketua Jabatan, Jabatan Kejuruteraan Elektronik Sistem, Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) UTM Kuala Lumpur. Pihak penganjur juga turut mengundang dua orang lagi ahli panel iaitu Encik Khairil b. Muhamad Shafar yang merupakan Penolong Pengarah di Unit Vokasional dan Teknikal, Sektor Penerbitan Sekolah Menengah (SPSM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Tuan Hj. Abdul Samad bin Hanif yang merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Teknik dan Vokasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Diskusi telah berlangsung selama dua jam dengan penuh ilmiah dan dalam suasana yang harmoni.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Datin Dr. Ng Soo Boon , Timbalan Pengarah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan YBhg. Professor Dr. Shamsul bin Sahibuddin, Pro Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur). Semoga program yang berimpak tinggi seperti ini dapat dilaksanakan pada tahun hadapan. Semoga ilmu yang dikongsikan kepada 400 orang warga pendidik RBT ini dapat disebarkan ke seluruh Malaysia demi memastikan generasi muda yang dibentuk dapat membina negara Malaysia yang maju pada masa akan datang.