KUALA LUMPUR, 15 Februari 2017 – Kolaborasi antara Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) bersama SMK Padang Tembak dimeriahkan lagi dengan terlaksananya Program Lawatan Kampus UTMKL. Ianya merupakan sebahagian dari perancangan Program Libatsama Komuniti UTMKL bersama SMK Padang Tembak (SMKPT) yang diselaraskan oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN).
Program Lawatan Kampus ini disertai oleh 50 pelajar Persatuan Sains SMKPT yang terdiri dari tingkatan 1 dan 2 bersama 5 orang guru pengiring. Program ini bertujuan memberi ruang dan peluang kepada para pelajar terutamanya untuk menimba ilmu, memberi motivasi dan inspirasi khususnya dalam meneroka bidang Sains. Program ini juga diharap dapat memberi persekitaran baru bagi para pelajar dan guru disamping mencetus idea-idea yang kreatif dan inovatif dalam meningkatkan kualiti pengajaran guru-guru sekolah serta menambah minat pelajar-pelajar dalam bidang Sains di sekolah dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke UTM. Para pelajar dan guru diraikan dengan penerangan ringkas tentang Kampus UTMKL dan program-program yang ditawarkan disamping suntikan motivasi oleh Pn. Siti Salamah bte Mohd Shihab, Ketua Pentadbiran UTMKL dan Dr. Mohd Sharil bin Abdullah, Timbalan Pendaftar. Antara tempat yang dilawat oleh para pelajar dan guru adalah Studio Seni Bina, Pusat Kecemerlangan UTM Ocean Thermal Energy Centre (OTEC) dan Pusat Komputer UTMKL.
Program ini mengambil inisiatif Community Engagement (CE) selaras dengan teras strategik universiti dalam Plan Global 50 iaitu ‘Sumbangan terbaik kepada Komuniti’ dan ‘Memasyarakatkan Universiti’ dimana UTMKL akan sentiasa bersiap sedia memberi khidmat kepada komuniti di sekitarnya dalam pelbagai bidang.
Adalah diharap agar PTJ lain juga dapat mengambil peluang untuk menyumbang mengikut kepakaran dan kemampuan masing-masing pada program-program mendatang. Justeru itu, kepada warga kampus UTMKL yang berhasrat untuk menjalin sinergi dengan pihak CCIN, penglibatan bersama amatlah digalakkan. Sebarang pandangan serta idea berhubung konsep atau bentuk perlaksanaan program boleh dipanjangkan kepada pihak urusetia di talian 03 26154500 – En. Hazly Ja’apar.